Sunday 31 October 2010

Relawan A2G meneliti cadangan projek-projek dari NGOs di Gaza


Sekembalinya ke Malaysia, sebenarnya misi tidak berakhir bagi relawan A2G VP5. Dua hari di hujung minggu (selepas 4 hari kembali ke tanah air dan balik menemui sanak saudara), relawan yang tinggal di utara, selatan semenanjung dan di lembah Kelang bergegas ke ibu pejabat Aqsa Syarif. Berbengkel dan berbincang meneliti cadangan projek-projek yang diberikan oleh beberapa NGO di Gaza ketika beberapa sesi lawatan tapak dan pertemuan di bilik seminar Gaza Beach Hotel tempat penginapan relawan A2G pada 22-24 Oktober baru-baru ini.

Sejumlah 35 cadangan projek diterima, namun 20 cadangan projek dikenalpasti sebagai "projek penting dan Kritikal" yang memerlukan penelitian mendalam dan serius. Kebanyakkannya ialah projek baru dan beberapa projek adalah berbentuk penerusan dan pemantauan. Projek-projek tersebut adalah hasil sumbangan kewangan rakyat Malaysia yang disalurkan melaui AQSA SYARIF kepada beberapa NGO di Gaza.

Relawan A2G bercadang untuk segera mengadakan kempen pengumpulan dana untuk projek-projek penting dan kritikal yang akan diusahakan oleh Aqsa Syarif untuk diberikan tumpuan. Ia meliputi bantuan bagi menyediakan keperluan paling asas penduduk Gaza seperti bekalan air bersih, projek bantuan kesihatan dan pendidikan. Namun senarai penuh projek akan dibawa dan dibentang ke mesyuarat Lembaga Pengarah Aqsa Syarif dalam masa terdekat. Semoga rakyat Malaysia terus prihatin dan akan menyumbang kewangan bagi membantu menjayakan projek-projek bantuan kemanusiaan untuk rakyat Gaza yang dizalimi rejim Israel.

Kovoi Talian Hayat 5 (Lifeline 5) Menghantar Bantuan Perubatan kepada Kementerian Kesihatan


Selasa ,26/10/2010 – Delegasi konvoi bantuan Talian Hayat 5 pada Sabtu menghantar alatan perubatan dan ubat-ubatan yang bernilai hampir lima juta dollar kepada Menteri Perubatan Palestin di Semenanjung Gaza.

Kevin Ovenden yang mengetuai konvoi, bagi pihak ketua asal konvoi, bekas Ahli Parlimen Britain, George Galloway, berkata bahawa mereka datang untuk menghantar bantuan yang dikumpul daripada 30 negara kepada kementerian untuk berkhidmat di sektor kesihatan di Gaza.

Galloway telah disekat oleh kerajaan Mesir daripada memasuki kawasan mereka (Mesir) dalam perjalanan ke Gaza.

sumber : http://www.palestine-info.co.uk/en/
penterjemah : redz

Thursday 28 October 2010

Viva Palestina satukan warga antarabangsa ringan derita rakyat Palestin

Oleh Mohd Zin Kandar
(Artikel disalin dari Berit Harian Online) 2010/10/28

Lebih 1.5 juta penduduk Gaza dinafi hak hidup seperti manusia oleh Israel

KONVOI Kemanusiaan Global Jalan Darat ke Gaza Viva Palestina ke-5 (VP-5) adalah usaha penting, khususnya jika dilihat dari perspektif peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memperjuangkan hak penduduk Palestin. Perjuangan rakyat Palestin yang sudah lebih 62 tahun sering dilihat dan dinilai sebagai satu isu yang seolah-olah tiada penyelesaian.



Pemimpin silih berganti, persidangan demi persidangan dan perjanjian demi perjanjian ditandatangani, tetapi nasib rakyat Palestin masih tidak terbela, malah keadaan lebih buruk berlaku. Kemenangan Hamas pada pilihan raya yang telus dengan dihadiri pemantau Amerika, termasuk Jimmy Carter (bekas Presiden Amerika) pada 2006 bukan diberi sokongan, malah rakyat Gaza ‘dihadiahkan’ dengan hukuman kejam.
Dengan dukungan Amerika dan negara Eropah, Israel menegakkan sekatan makanan dan barang keperluan kepada penduduk Gaza. Sekatan secara menyeluruh yang menghalang penduduk hidup seperti manusia biasa dengan menjadikan Gaza sebagai ‘penjara terbuka terbesar dunia’.

Mereka tidak dibenarkan mengimport atau membawa masuk barang makanan, keperluan perubatan, keperluan tenaga

elektrik, air, keperluan pendidikan anak dan apa juga barang keperluan untuk 1.5 juta penduduk Gaza. Sekatan oleh manusia zalim berfahaman Zionis menafikan hak asas sesama manusia dan kesannya ialah penduduk Palestin di Gaza kekurangan zat makanan yang kritikal khususnya ibu mengandung, kanak-kanak dan orang tua.

Penyakit yang dihidapi penduduk tidak dapat diubati kerana tidak cukup ubat dan peralatan merawat disebabkan sekatan berkenaan. Proses penyelidikan dan pembangunan tidak dapat dijalankan di sekolah disebabkan bahan dan buku sekolah yang tidak mencukupi.

Usaha sama rejim Israel menindas orang awam di kawasan Tebing Barat Palestin melalui rampasan tanah milik penduduk Palestin untuk meluaskan perumahan Yahudi adalah antara tindakan pencabulan keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Pembinaan tembok konkrit yang tinggi dan melingkari puluhan kawasan kediaman dan pertanian yang berbaki dan membuat sekatan pemeriksaan yang begitu banyak membuatkan penduduk mengalami kesukaran untuk bergerak dan memperoleh keperluan seharian.
Hasil pertanian tidak dapat dibawa keluar untuk dijual dan ia menyebabkan kedudukan orang Palestin semakin terpinggir dan mundur. Ini adalah suatu tindakan tidak bertamadun oleh bangsa pendatang terhadap bangsa Palestin yang lemah dan ditindas.

Serangan besar-besaran rejim Zionis Israel pada 2008 terhadap Gaza tanpa sebarang sebab adalah tindakan di luar perikemanusiaan terhadap penduduk awam Palestin. Dalam serangan 20 hari itu, menyebabkan pelbagai kerosakan khususnya perumahan, tempat ibadat, hospital, institusi pendidikan dan sekolah yang bernilai berbilion dolar Amerika, manakala serangan terhadap flotila Mavi Marmara pada 31 Mei lalu adalah satu lagi tindakan biadap pencabulan tentera rejim di perairan antarabangsa.

Dunia sudah menyaksikan banyak siri perjanjian ditandatangani dan persefahaman dimeterai Israel dan Palestin atau dengan negara yang berhampiran Palestin. Namun, Israel yang terlebih dulu menodai perjanjian yang mereka tandatangani. Begitulah juga ketentuan yang telah dibuat PBB bagi menangani sebarang isu berbangkit mengenai Palestin. Regim Israel seolah-olah tidak mengindahkan sebarang usaha ke arah kedamaian. Mereka semacam suatu bangsa yang mengatasi sebarang perundangan dunia.



Oleh itu, isu Palestin memerlukan inisiatif yang bersifat dinamik bersesuaian dengan cabaran semasa dan realiti pandangan masyarakat dunia hari ini.
Ketua negara khususnya yang aktif mendalami isu Palestin boleh terus berbuat demikian mengikut rancangan mereka, namun pihak NGO yang sudah sekian lama berperanan dalam isu berkaitan juga perlu diberi ruang seluas-luasnya untuk berperanan.

Puluhan tahun NGO berperanan di dalam atau di luar Palestin seperti Persatuan Bulan Sabit Merah, agensi bantuan dari negara tertentu seperti Islamic Relief Worldwide, Muslim AIDS, Aqsa Foundation dan sebagainya, kini mereka sudah membuat suatu rangkaian yang lebih besar dan lebih ramai NGO terbabit di seluruh dunia dari Eropah ke Amerika, dari Asia ke benua Australia dan New Zealand.



Di bawah inisiatif dan kepemimpinan George Galloway, Viva Palestinia (VP) yang memberi maksud ‘Kemenangan untuk Palestin’ di dalam bahasa Perancis menjadi antara NGO yang menonjol. Melalui beberapa siri aktiviti kempen kesedaran Palestin yang bermula di United Kingdom, VP berkembang dan memiliki cawangan di negara Eropah, Amerika, Afrika dan Asia termasuk Malaysia.

Koordinasi sesama cawangan dan dengan pertubuhan di negara tertentu yang sedia wujud seperti IHH (Turki), Itali dan Aqsa Syarif (Malaysia), Viva Palestina berjaya menganjurkan beberapa aktiviti termasuk konvoi bantuan kemanusiaan dan flotila kapal membawa bantuan untuk Gaza dan Palestin.

Lazimnya, konvoi berkenaan sepenuhnya bermotifkan kemanusiaan iaitu hanya membawa barang-barang bantuan berupa makanan, bahan perubatan, bahan pembelajaran dan bahan-bahan binaan untuk membantu pembangunan semula Gaza.

Inisiatif VP dan pelbagai NGO melalui koordinasi seluruh dunia secara tidak langsung menunjukkan keprihatinan yang tinggi tanpa mengira bangsa, fahaman politik, kepercayaan mahupun batas geografi. Sukarelawan umumnya bertindak membantu rakyat Palestin yang ditindas rejim Zionis Israel, hanya semata-mata kerana nilai kemanusiaan yang lahir dalam bentuk bantuan sesama manusia. Bagi yang beragama Islam pula, mereka didorong oleh cetusan keimanan dalam diri yang menuntut agar kesusahan dan kesakitan saudara sesama Islam dibantu dan dibela.



Penyertaan 14 rakyat Malaysia dari Viva Palestina Malaysia dan Aqsa Syarif Malaysia tepat pada masa. Ini bertepatan pula dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 8 Jun 2010 yang menyokong agar NGO terus menghantar sukarelawan dalam setiap misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin yang dianjurkan di peringkat antarabangsa.

# Penulis ialah Ketua Konvoi Aqsa2Gaza, Aqsa Syarif Malaysia

Wednesday 27 October 2010

Sumbangkan Sebahagian Rezeki Melalui Aqsa Syarif



Alhamdulillah AQSA diizinkan Allah menghantar wakil ke Gaza. RM165,000 dalam bentuk 3 kenderaan yang akan dijadikan Ambulan Hospital beserta ubat-ubatan telah selamat diserahkan kepada penduduk Gaza. tambahan RM250,000.00 hasil sumbangan orang ramai seluruh Malaysia melalui pelbagai program anjuran Aqsa Syarif seperti ceramah di masjid, surau, sekolah dan pejabat serta sumbangan on-line ke akaun Aqsa Syarif telah diserahkan dengan tangan kepada rakyat Gaza melalui NGO-NGO yang aktif membantu kommuniti. Teruskan beramal, semoga kehidupan anda semua bertambah berkat dan ALlah mencurahkan rezeki yang bertambah-tambah.





# Dr Mohd Zin yang merupakan Ketua Konvoi A2G dan Ahli Lembaga Aqsa Syarif, dengan ditemani peserta-peserta konvoi A2G menyerahkan wang tunai kepada pihak poliklinik di Betlahiya utara Gaza baru-baru ini. Sejumlah wang juga diserahkan dengan tangan kebeberapa wakil komuniti untuk tujuan menambahbaik sekolah, menambahkan modal pusingan projek lembu, membiaya keperluan makanan penduduk miskin, pembelian keperluan Hospital Kanser Kanak-kanak Rantisi dan lain-lain aktiviti kebajikan rakyat Gaza.

Tuesday 26 October 2010

Lawatan ke Sekolah Tajaan Mawaddah & Aqsa Syarif






Hari ke dua di gaza, relawan AQSA berkesempatan melawat sekolah yang diuruskan oleh biro wanita Islamic Society of Betlahia. Menempatkan sekitar 100 kanak-kanak gaza yang berumur dari 4-6 tahun yang diajar oleh 8 orang guru yang berpendidikan tingga, seorang guru yang ditemui mempunyai ijazah di dalam pendidikan awal sekolah dari universiti tempatan.

Bangunan yang sederhana tetapi kemudahan yang agak dhoif. Halaman yang berpasir (tidak berturap atau berkonkrit). Dinding sekolah yang agak lusuh dan kemudahan ABM yang minima.

Mendekati murid-murinya yang berpakaian biasa dan kelihatan lusuh. Pelajar-pelajarnya agak kelihatan comot dengan rambut yang kelihatan tidak bersikat. Merenung muka para pelajarnya kelihatan agak pucat, mata yang kelihatan kurang zat makanan dan ada yang kelihatan bintik-bintik di muka dan bibir. Jelas dibayangkan, mereka adalah dari keluarga miskin yang ditempatkan dan dibantu oleh persatuan Islam yang menguruskan sekolah.

Guru besar yang berpakain kemas dan berfurdah (menutup muka), memberikan penerangan selepas sessi lawatan kami. Beberapa guru (semuanya wanita) yang ditemui kelihatan berpendidikan dan bersemangat di dalam mendidik anak-anak.


Projek ini adalah sebahagiannya di bantu oleh Pertubuhan Mawaddah Malaysia dan Aqsa Syarif. Pertubuhan Mawaddah memberikan fokus kepada bantuan berbentuk pendidikan dan dalam projek ini ianya diurus oleh biro wanita tempatan.

Aqsa2Gaza - MHI 26-10-10

Rakaman daripada siaran MHI bersama dengan dua relawan dari Malaysia yang menyertai konvoi ke Gaza yang memakan masa selapa 40 hari.

“Kami bersyukur dapat sampaikan RM250,000 dengan tangan sendiri” – Dr Zin







TUESDAY, 26 OCTOBER 2010 17:00 TM LIM (Dari Malaysia Harmoni)


SEPANG – Ketibaan 14 warga Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan konvoi jalan darat Viva Palestina Kelima (VP5) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini kira-kira jam 4.30 petang semalam disambut meriah oleh lebih 200 orang ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.

Laungan takbir bergema di celah-celah sepanduk yang mempamerkan kata-kata kesyukuran dan tahniah atas kejayaan wira-wira ini ‘menembusi’ tembok yang mengepung Gaza.

Selepas sidang media di sebuah bilik VIP di kawasan Balai Berlepas, tingkat lima KLIA, para sukarelawan bergerak ke pentas khas di tingkat yang sama untuk satu majlis khas. Hadirin yang kebanyakannya mengenakan pakaian bertema Palestin ternyata ceria dengan kepulangan mereka. Ramai juga yang kelihatan memakai baju bertulis ‘Aqsa Syarif’, ‘Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)’ serta ‘Viva Palestina Malaysia’.

Doa ringkas dibacakan oleh Pengerusi Aqsa Syarif Berhad, Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus. Beliau sendiri merupakan bekas sukarelawan misi jalan laut ‘Lifeline 4 Gaza’ yang terbabit dalam peristiwa serangan ke atas kapal ‘Mavi Marmara’ di Laut Mediterranean pada 31 Mei lalu.

Konvoi misi jalan darat ini dipimpin oleh Viva Palestina Malaysia (VPM) yang diketuai oleh Pengerusinya, Datuk Adnan Mohd Tahir bersama empat anggota VPM lain. Ia turut disertai oleh tujuh sukarelawan Aqsa Syarif serta seorang wartawan dan seorang jurukamera sebuah stesen televisyen swasta utama tempatan. Kesemua mereka bergabung dengan konvoi Viva Palestina United Kingdom (VPUK) sebelum bertolak ke Gaza.

Konvoi besar VP5 bertolak dari London pada 18 September 2010. Laluan mereka di England, Itali, Perancis, Turki, Greece, Syria dan Mesir mendapat sambutan hangat penduduk tempatan yang turut menyokong usaha murni ini.

Ketua sukrelawan Aqsa Syarif, Prof Madya Dr Mohd Zin Kandar ketika ditemui menyifatkan sambutan yang mereka terima di negara-negara tersebut sebagai salah satu kejayaan VP5.

“Walaupun melalui tempoh yang agak panjang iaitu 40 hari, kami mengambil kesempatan itu untuk berkempen bagi menyedarkan masyarakat dunia bahawa usaha yang bersungguh-sungguh sedang dilakukan untuk memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza,” jelasnya.

Dua lagi kejayaan yang dicapai adalah matlamat memasuki Gaza dan menyampaikan sumbangan rakyat Malaysia berjumlah RM250,000.

“Kami sangat bersyukur kerana dapat menyampaikan jumlah wang tersebut dengan tangan sendiri kepada tiga pertubuhan (NGO) di Gaza yang terdiri daripada persatuan-persatuan Islam. Antara projek yang sempat kami lawati adalah projek pendidikan yang merupakan usaha sama Aqsa Syarif dengan Pertubuhan Mawaddah Malaysia (Mawaddah),” tambah beliau.

Dr Mohd Zin kagum dengan komitmen warga Gaza yang tidak menyia-nyiakan segala sumbangan yang mereka terima dari luar.

“Projek ternakan lembu di utara Gaza, misalnya, menyaksikan hasil ternakan yang sihat dan berkembang biak. Kami turut dihidangkan keju dari hasil tenusu mereka. Kami juga menyumbangkan kira-kira €20 ribu kepada sebuah hospital pakar kanser kanak-kanak di bandar raya Gaza.

“Tetapi paling mengujakan saya adalah projek ekopelancongan (ecotourism) yang dikendalikan cukup Islamik dengan landskap yang menarik, padang permainan, kawasan pantai, kolam renang berasingan untuk lelaki dan perempuan dan disertakan juga kolam ternakan ikan air tawar.”

Kehadiran konvoi di Gaza, menurut beliau lagi, dikerumuni oleh banyak NGO yang ingin bekerjasama dalam projek-projek penambahbaikan taraf hidup penduduk di sana.

Sementara itu, Penyelaras Jawatankuasa Bantuan Perubatan VPM, Datuk Dr Musa Mohd Nordin bersyukur kerana kesemua sukarelawan dapat kembali untuk bersama keluarga di tanah air, tetapi dalam masa yang sama pilu kerana terpaksa meninggalkan bumi Gaza.

“Bagaimanapun kita bersyukur kerana berjaya menyampaikan sumbangan berjumlah RM16 juta berupa bantuan perubatan dan alat-alat pelajaran. Sumbangan ini diserahkan kepada Pedana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh yang mengagih-agihkannya pula ke hospital-hospital dan sekolah-sekolah di sana.”

VP5, kata Dr Musa, adalah penerusan usaha sedunia untuk mengembalikan hak rakyat Palestin kepada pemiliknya.

“Perdana Menteri Palestin sampai mengatakan para sukarelawan dari luar inilah pejuang sebenar kerana berjaya ‘menembusi’ tembok yang dibina Israel. Beliau berharap usaha ini akan berterusan kerana dengan kesedaran, lama-lama tembok itu benar-benar akan runtuh.

Misi ini merupakan yang pertama disertai Dr Musa. Beliau telah dilantik oleh VPUK sebagai koordinator perubatan bagi memastikan ubat-ubatan yang dihantar belum luput tempoh, selain bertanggungjawab memantau kualiti semua barangan.

“Berbeza dengan tahun lepas yang mana kita menghantar empat buah ambulans tanpa pemandu, pada kali ini kita menghantar enam buah ambulans yang dipandu sendiri oleh rakyat Malaysia (dua orang untuk sebuah ambulans) ditambah dengan seorang wartawan dan seorang jurukamera,” kata Dr Musa lagi.

Sebelumnya, Presiden IKRAM, Dr Mohd Parid Syeikh Ahmad menyampaikan cenderamata dan sumbangan kepada setiap sukarelawan yang terlibat. Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Pengerusi Mawaddah yang juga Ketua Wanita IKRAM, Ustazah Maznah Daud.

Para sukarelawan turut menyanyikan lagu popular ‘Barisan Kita’ yang telah diubah suai kepada tema perjuangan membebaskan Gaza. Lebih menarik, Dr Musa yang mengetuai nyanyian tersebut terlebih dahulu menjemput seorang sukarelawan yang merupakan guru silat, Abdul Wahab Yahya untuk mempersembahkan seni silatnya.

Sukarelawan lain yang menyertai VP5 ini adalah Azra Banu Mohd Sidik, Azhar Shamsuddin, Jafri Azman Dahlan, Mohd Taufek Abdul Rahman, Mohd Yusuf Ahmad, Mohd Faisal Mohd Idrus, Ustaz Rofazlin Jusoh, Norazmi Talib, Azmi Katiman dan Siti Azura Nordin.

Saturday 23 October 2010

Gaza : Ruang Beramal Terbentang Luas



Semalam relawan A2G berkesempatan melawat beberapa kawasan melalui beberapa NGO yang ketika hari pertama kami sampai mereka sudah bersedia datang memerkenalkan diri dan datang dengan beberapa rancangan dan cadangan lawatan.

Rakyat Gaza perlu bantuan segera bagi membantu mereka yang susah, hilang pekerjaan sehingga tidak dapat menyara keluarga (lebih 60% tidak bekerja kerana sekatan ekonomi Israel). Selain itu rakyat gaza memerlukan modal permulaan untuk melakukan projek-projek penjanaan pendapatan dan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan. Berikut adalah di antara peluang yang terbentang untuk rakyat Malaysia membantu. Hubungi AQSA SYARIF untuk maklumat lanjut:-

1. Peluang membantu mereka yang dhoif dan susah.
2. Peluang membantu barangan dan alatan perubatan bagi merawat pelbagai kecederaan dan penyakit.
3. Peluang membantu membangun semula institusi-institusi yang musnah dan ranap.
4. Peluang membantu menghidupkan kembali industri-industri bagi tujuan peghidupan dapat berjalan berterusan.
5. Peluang membantu untuk mereka mendapatkan keperluan asas seperti air bersih dan pembentungan yang baik.
6. Peluang membantu menyediakan keperluan tempat tinggal yang sesuai.
7. Peluang membangun aspek pendidikan dan pembangunan modal insan.

Aqsa Syarif menyeru seluruh masyarakat untuk terus mengambil peluang untuk beramal ... menghulurkan apa jua bantuan sementara Allah masih kurniakan rezeki, kesihatan dan kelapangan hidup. Hubungi Aqsa Syarif. www.aqsasyarif.com. "Memperkasa Ummah - Membebaskan Al-Aqsa".






# Gambar di atas sekali, seorang penduduk yang tabah hati terus menduduki bekas tapak rumahnya yang sudah ranap diroboh tentera zionis yang kejam. Hanya pacakan kayu, zink dan diselimuti plastik dan kain-kain menjadi pondok berteduh.

# Dua gambar di bawah, keadaan bilik kecil yang basah yang diduduki keluarga muda yang kehilangan mata pencarian. Dua anaknya tentunya tidur menghidu kelembapan yang boleh menjejaskan kesihatan dan masa depannya. Itulah sahaja yang mereka ada !

Gazan : Kau benar-benar Hebat ...!



Semalam, relawan A2G diizinkan Allah SWT melawati dan menziarahi beberapa tempat di utara Gaza di Beitlahya, di kawasan Gaza City dan di selatan Gaza di Khainnunis.

Melawat sekolah di Beitlahia yang dhoif, perusahaan roti, ternakan lembu, ternakan Ikan air tawar, badan-badan NGO yang gigih beramal dan berjuang membantu masyarakat yang dhoif dan susah, persatuan pelajar Universiti di gaza yang sangat prihatin kepada anak-anak yag menghidapi Cancer di Gaza, pemuda yang gigih menghadapi hari-hari muka yang tidak menentu kerana kecacatan tubuh dek peluru ganas israel, murid-murid sekolah yang berdisiplin dan berakhlak / berhijab ... menelusuri lorong-lorong yang berdebu ke sekolah.....

Hati, perasaan dan minda bercampur .... Sedih dan hiba melihat penduduk Gaza..., geram dan kecewa dengan keganasan rejim Zionis Yahudi..., Bangga dan bersemangat bila melihat ketabahan, kreativiti dan kesungguhan aktivis Gaza membangun bangsa, agama dan negara dengan pelbagai projek dan program yang konstruktif, proaktif dan praktikal ... demi meneruskan dan memajukan masyarakat Gaza dan Palestin dengan pelbagai program dan projek ... tanpa emngira penat dan lelah... walaupun tidak diduga bila-bila masa peluru-peluru ganas rejim zionis akan datang menerpa ...?!





Kenyataan berikut yang dapat kami rasai apa yang ada di benak pemikiran dan perasaan mereka....

Ah....! Peduli pada setan zionis itu...!

Aku hidup adalah untuk menunai janjikau pada Allah Rabbul Jalil ... Untuk Menjadi Khalifah dan Beribadah hanya sanya kepa NYA...! Allahu Akbar ...!

Gaza Bumi Yang DiRahmati

Hari ketiga di Gaza, saya melihat keberkatan dan kerahmatan Allah untuk penduduk Gaza dan umat Islam sedunia yang menyokong dan membantu perjuangan memerdekakan Palestin dari penjajah haram rejim Zionis Israel yang tidak berperi kemanusiaan.

Malam Pertama Ketibaan Konvoi

Setibanya konvoi di Gaza City, ratusan penduduk membanjiri kanak-kiri jalan dengan laungan selamat, kibaran bendera dan lambaian tangan - yang kecil, yang muda, yang tya, yang wanita dan dengan penuh kegembiraan di raut wajah - menyambut kedatangan kami.

Kenderaan konvoi di pimpin pasukan keselamatan Hamas menuju kawasan lapang tetapi berdebu berhampiran bangunan kompleks kementerian keselamatan Gaza yang sudah runtuh oleh serangan tentera rejim Zionis Israel pada 2008 yang lalu.

Disambut beberapa sukarelawan NGO yang terlebih awal mengetahui relawan Aqsa Syarif. Abdul Rahem Sehab namanya iaitu Chairman the Islamic Society of North gaza (member of the Union of NGO's of the Islamic world) adalah salah seorang yang sudah menanti dan memperkenalkan diri kepada kami. Juga wakil dari Hospital Cancer Kanak-kanak Gaza, wakil dari Sekolah Kanak-kanak Betlahia dan Pertubuhan Kebajikan Khann Younis selatan gaza.

Hari pertama, kami di bawa melawat sekitar Gaza dengan bas. Bekas-bekal runtuhan bangunan, kawasan perumahan yang musnah, ladang-ladang yang sudah habis di lanyak kereta kebal Israel. Hati hiba bercampur geram, membayangkan bagaimana tentera regim yang tidak berprikemanusiaan.

Tengah hari, kami dibawa solat Jumaat di sebuah masjid ditengah Gaza City. Masjid yang sederhana ditengah-tengah kejiranan perumahan yang padat dengan penduduk awam yang sederhana dan miskin. Perdana menteri, Dr Ismail Haniyeh sudah berada di atas mimbar berkhutbah ketika kami tiba di masjid. Seorang Perdana menteri berjubah Putih & berkopiah sederhana menyampaikan khutbah dan amanat untuk rakyatnya sendiri - begitu menyentuh perasaan dan membangun semangat.

Di sebelah petang, kami di ra'ikan dengan makan tengah hari di tepi pantai Gaza di kemah sementara - sangat sederhanaya - bukan di dewan banquet yang berhias dan berhawa dingin ... tetapi sejuk dihati kerana majlis dihadiri oleh Dr Ismail sendiri dan pembesar-pembesar negeri Gaza yang penuh mesra terhadap semua relaan konvoi termasuk yang bukan beragama Islam yang turut dilayan mesra. Relawan wanita mendapat perhatian khusus, Dr ismail dan menteri kanan mengunjungi meja dan mengadakan perbincangan khusus. Tentunya pengorbanan relawan wanita yang bersusah payah meneyrtai konvoi, meninggalkan anak-anak dan suami, begitu berbaloi kerana penghargaan khas yang diberi oleh seorang perdana Menteri.

Sebelah petang, satu lagi sessi perkongsian diadakan di sebuah dewan di bangunan Parlimen Gaza. Wakil-wakil relawan konvoi dari setiap negara dijemput di atas pentas dan diberi peluang berucap. Bebeapa negara bertukar cenderahati.

Hari pertama di Gaza berlalu dengan penuh memori. Para relawan disambut dan dira'ikan sebagai tetamu istemewa, walaupun bukan niat dihati untuk mendapat penghormatan.

Hari kedua di Gaza

Hari ke dua terus mengamit memori yang lebih syahdu, apabila relawan A2G diberi peluang membuat beberapa kunjungan khas ke penempatan-penempatan penduduk, institusi-institusi awam, sekolah dan projek-projek ekonomi dan sosial biaya Aqsa Syarif yang telah disumbangan beberapa ketika terdahulu.





Di sebuah sekolah pendidikan awal di Betlahiya di utara Gaza. Mengunjungi sebuah sekolah yang sederhana. 100 kanak-kanak bernaung disekolah ini, belajar membaca, menulis dan mengira, belajar erti kehidupan melalui guru-guru yang komitted walaupun dengan elaun yang sangat minima. Projek diuruskan oleh Biro Wanita Betlahiya yang disumbangkan oleh Pertubuhan Mawaddah Malaysia dan Aqsa Syarif awal tahun ini. Banyak keperluan bajet tambahan diperlukan. Insya Allah Aqsa Syarif akan mengusahakan dengan sokongan rakyat Malaysia untuk menaiktaraf sekolah tersebut.

Kemudian kami dibawa melawat kilang roti yang telah beroperasi beberapa tahun hasil sumbangan sebuah pertubuhan di Bahrin kepada pertubuhan NGO di Betlahiya. Kilang berkonsep charity yang menjual roti kepada rakyat miskin dengan harga kos.













Suatu yang menyentuh perasan dan mengugah dan mencabar minda ialah lawatan ke pusat ternakan lembu tenusu. Dengan sedikit sumbangan yang diberikan Aqsa Syarif di awal tahun, kini lembu sudah membiak dan mendatangkan hasil tenusu yang dapat memberi peluang kepada penduduk menjadi peruncit susu yang dijual di sekitar bandar dan desa. Juga hasil keju yang enak yang diproses oleh sekumpulan usahawan. Sedap rasa kejunya dapat kami nikmati sebaik lawatan sampai dipenghujung di mana kami dijamu dengan jamuan roti bersama keju hasil industri kecil mereka.

Sesungguhnya Bumi ini memberi peluang kepada sesiapa yang ingin beramal, bermujahadah dan berjihad kerana Allah.
"Ya Allah kurniakan kerahmatan dan kebaikkan untuk aku, keluarga ku, sanak saudaraku, jiran-jrianku, rakan seorganisasi ku, kepimpinan dan ahli-ahli Aqsa As-Syarif, IKRAM, Koperasi Muslimin, STAIL, SMART dan sekolah-sekolah, institusi-institusi Islam di Malaysia seluruhnya dan seluruh dunia. Lembutkan hati-hati kami semua ya Allah utntuk terus menyumbang kepada pembebasan bumi Palestin dan Masjidil Aqsa Yang Mulia. Amin...!
GAZA CITY 24 OKT 2010

Gazan : Bangsa Yang Bingkas Bangun




Sehari suntuk di Gaza semalam dibawa meninjau sekitar Gaza City. Kota ribuan tahun, bumi anbiya', telah menyaksikan 1000001 peristiwa dan fenomina. Bercampur rakaman lensa kami merakamkan lanskap bandar (urban landscape) yang membentuk komposisi perancangan bandar yang bercampur. bekas-bekas struktur purba masih dilihat dicelah-celah konkrit binaan modern dan sisa ganyangan peluru zionis Israel laknatullah. hanya serpihan besi, batu dan pasir yang memusnahkan kekuatan konkrit 1:2:4 yang menjadi melindungi nyawa dan harta. Berapa jiwa agaknya yang terkorban dibawah runtuhan banunan-bangunan itu ??

Tapi di sini dan di sana, lensa kami menerpa beberapa struktur separa-siap ... memberitahu kami bahawa GAZA BEGITU BINGKAS BANGUN walau seganas mana peluru-peluru zionis berusa memusnahkan ....

Friday 22 October 2010

Mandi Air Masin & Bekalan Elektrik Tak Stabil


Malam kedua di Gaza semakin nampak kekurangan di Gaza hasil dari kezaliman rejim Zionis. Semalam aktiviti sambutan kerajaan Gaza kepada relawan VP-5 sangat padat, tapi relawan pemuda-pemuda Gaza tetap cergas dan bermuka manis melayani kerenah beberapa relawan VP-5. Nampak jelas kompiten dan kekuatan fizikal, emosi dan mental mereka. Mereka menjaga kami dari pelbagai segi termasuk pergerakan kami walaupun di tempat penginapan. Kami tidak dibenarkan keluar dari kawasan. Keluar hanya acara rasmi dan sentiasa di awasi akan keselamatan kami.

Mandi dengan air masin di tempat penginapan (bukan air payau). Tak seperti di Syria... apatah lagi di Turki & Europe. Ini bermakna, Gaza menghadapi masalah air yang kritikal dan penyulingan air tidak effisient - mungkin disebabkan kekuarangan peralatan yang sesuai dan sewajarnya mereka perolehi. Pagi ini ketika nak berwudu', air sangat kecil ... hampir tiada untuk basuh muka.

Semalam ketika PM berucap di dalam majlis meraikan kami di dewan besar bersama beberapa pemimpin utama Gaza dan tetamu-tetamu, bekalan elektrik terputus, dewan menjaji gelap dan suara Dr Ismail Haniyeh hilang disebabkan terputusnya elaktrik. Mujur ada back-up generator. Dewan dengan kapasiti 500 audience memang panas. Tiada pendingin hawa.

Balik di tempat penginapan pun ... sekali lagi elektrik terputus.

Gaza perlukan bekalan tenaga yang secukupnya ... Demi kemanusiaan .... Sekatan Gaza Perlu Dirobohkan Segera .... !

album as of 22oct

Beberapa gambar tanpa edit dan resolusi rendah di Mesir dan sepadan Gaza.

Klik gambar di bawah untuk ke album online.



More...

aqsa2gaza: Inilah barisan kita (song)

Pada malam terakhir sebelum bertolak ke Al-Arish, VP telah menganjurkan malam kebudayaan untuk penduduk setempat sebagai tanda penghargaan kepada layanan baik yang telah mereka berikan.

Kami telah memilih lagu patriotik yang terkenal di Malaysia dengan menyuaikannya dengan perjalanan kami ke Gaza. Juga kami sembahkan versi bahasa Inggeris yang telah dikarang oleh Dato Dr Musa dan Dato Adnan.

Thursday 21 October 2010

A2G BERSAMA KONVOI VP-5 TIBA GAZA CITY




















Assalamualaikum
Alhamdulillah
Allahu akbar ... Allahu akbar ... Allahu akbar ...

Alhamdulillah konvoi VP5 sudah tiba di Gaza City l.kurang 11pm 21hb Okt 2010. Tiba di Rafah sekitar jam 5.00pm dan Sambutan di sempadan Rafah sangat mengharukan. Sujud Syukur dilakukan oleh sukarelawan A2G. Linangan dan esakkan air mata gembira ketika mendakap saudara-saudara yeng menyambut kedatangan kami.

Sambutan penduduk GAZA di sepanjang perjalanan juga mengharukan. Kanak-kanak, wanita, pemuda dan orang dewasa berkumpul dan melambai tangan di sepanjang jalan dari Rafah ke Gaza City dengan iringan pasukan keselamatan dan sukarelawan gaza.

Sebaik kenderaan yang kami pandu menuju di kawasan lapang di tengah-tengah Gaza City, beberapa NGO sudah menunggu dan memperkenalkan diri untuk menyusun temujanji bagi membincangkan bentuk bantuan dan projek yang kami boleh usahakan.

Kami dilayan sebagai tetamu dengan ditempatkan di Gaza Beach Hotel di Gaza City. Walaupun sederhana, tetapi kemas dan memiliki capaian internet wireless yang baik sama ada di lobby atau di bilik penginapan.

Sekumpulan NGO sudah menunggu kami di bilik perbincangan, penat tidak terasa, gembira yang teramat sanggat dapat bertemu, bersua muka, bertentang mata, bertauh hati, termetri ukhuwwah dengan selimut keimanan.

Syukur tidak terperi ... bual bicara ditutur, merencana pertolongan dan bantuan. Semoga terangkat beban saudara di Gaza. Ya Allah, Kau tautkanlah hati-hati ini, bersama untuk memikul beban dakwahmu ... bersatu untuk mentaati perintah MU....

Jazakumullahukhairan dan terima kasih kepada semua kepimpinan dan ahli IKRAM, kepimpinan dan sukarelawan AQSA, individu dan organisasi serta seluruh rakyat Malaysia yang secara langsung dan tidak langsung membantu, mendoa, memberi dorongan sehingga memungkinkan sukarelawan A2G menjejakkan kaki ke bumi bertuah ini.

Besok akan berlangsung penyerahan kenderaan dan barangan bantuan yang kami bawa kepada pihak rakyat Gaza.

Alhamdulillah.. Alhamdulillah... Alhamdulillah Walillahilhamd. Wassalam.

Ketua Konvoi A2G