Monday, 29 November 2010

Belajar dari kehebatan dan kecekalan saudaraku di Gaza






Sudah hampir 5 minggu para relawan A2G berada di tanahair tercinta setelah mengharungi perjuangan selama 40 hari untuk menembusi tembok penjara terbesar di dunia, iaitu Gaza untuk misi bantuan kemanusiaan. Namun, kebanyakan relawan masih lagi merasai manisnya kenangan berada di bumi Gaza walaupun sekadar dua hari. Manakan tidak, saudara - saudara di Gaza melayan kami tak ubah seperti mereka baru sahaja bertemu semula saudara mereka yang telah berpisah selama puluhan tahun. Begitulah hebatnya mereka dalam meraikan tetamu, hinggakan saat kami menjejakkan kaki semula di KLIA, terasa antara percaya dengan tidak yang kami telahpun kembali ke pangkuan keluarga, saudara mara dan sahabat tercinta. Rasanya baru semalam kami baru sahaja berpeluk - pelukan saat berjumpa dengan Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh, mendengar khutbahnya dan bersolat di belakangnya di hari Jumaat yang mulia, mendengar rintihan sahabat kami Shaban yang terngiang kata - katanya : "Alhamdulillah, kamu semua boleh mendapatkan rezeki kamu dari laut, darat dan udara... kami di sini juga masih mampu mendapatkan rezeki kami tapi melalui bawah tanah ( terowong )".

Begitulah hebatnya mereka, membina kehidupan di atas runtuhan - runtuhan bangunan dan di celahan tembok yang ditinggalkan kesan dari pengeboman Israel. Keperitan yang ditanggung dan kepedihan yang dirasai tidak pernah menjadikan mereka orang - orang yang sentiasa berputus harap kepada Allah 'azza wa jalla. Sebaliknya, hidup di bawah cengkaman Zionis Yahudi inilah yang menjadikan mereka semakin kuat pergantungan kepada Allah. Tarbiah mereka sentiasa dimantapkan dengan pengisian rohani dan pendekatan Al - Quran yang dijadikan rujukan utama dalam melayari bahtera kehidupan agar tidak melencong dari apa yang telah dilandaskan oleh Allah dan Rasul-Nya. Sahabat kami, Mohd Nazif ( bergambar bersama Ustaz Rofazlin ) menyatakan :"Selepas kami diserang oleh Israel pada 2008 yang lalu, kami telah berjaya melahirkan 6000 hingga 8000 orang hafiz quran. Kini, bilangan tersebut telah bertambah sehingga 17 000 orang yang terdiri dari mereka yang berumur bawah 20 tahun". Menurut beliau yang juga seorang hafiz Al - Quran, lebih dibanggakan lagi apabila rekod hafazan 30 juzuk al - Quran itu dibuat oleh kanak - kanak berumur 5 hingga 6 tahun dalam masa 2 bulan.

"Setiap kanak - kanak ini akan cuba menghabiskan hafazan sebanyak 10 muka surat sehari. Kebanyakan polis dan tentera di Gaza juga adalah terdiri daripada mereka yang hafaz Al - Quran", tambah beliau lagi. Kami berkeyakinan dengan apa yang dinyatakan oleh beliau itu apabila esoknya kami dibawa melawat ke Masjid Umari ( Masjid yang diubah oleh Saidina Umar dari sebuah gereja ), kelihatan didalamnya terdapat beberapa halaqah kanak - kanak dan remaja yang berusia dari 3 hingga 18 tahun sedang asyik mempelajari dan menghafaz Al - Quran di hadapan guru mereka yang juga masih muda belia.

Apabila ditanya bagaimanakah mereka mengisi rutin kehidupan dengan memasukkan rutin tarbiah dalam kehidupan sehari - hari, beliau menyatakan : "Biasanya, kebanyakan daripada kami mewajibkan diri dengan memulakan kehidupan seawal pagi dengan berqiamullail, membaca al - ma'thusat, membaca serta menghafaz al - Quran setiap hari. Bagi kaum lelaki pula, satu tambahan kepada mereka iaitu bersolat subuh berjemaah hanya di masjid".

Begitulah hebatnya Gaza. Mungkinkah Allah mendatangkan isu mereka kepada umat Islam di seluruh dunia untuk menguji siapakah diantara mereka yang begitu prihatin dalam memperjuangkan isu mereka ini. Di sudut yang lain, sepertimana yang pernah disebutkan oleh sahabat kami, Tn Hj Norazmi Talib, seolah - olah Allah seakan sengaja menjadikan isu Gaza ini kepada kita semua untuk kita mengambil iktibar dan pengajaran serta mempelajari kehebatan mereka dalam meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT dalam keadaan macamana sekalipun kita diuji - diuji dengan kemiskinan, kesihatan, kekakayaan, kemiskinan, peperangan dan sebagainya.

Akhir sekali, bagi kita yang sentiasa merasakan hidup di bumi Malaysia yang dilimpahi dengan kemewahan dan keselesaan ini cukup bertuah, maka perlu juga mengambil sedikit ruang masa untuk memikirkan bahawa keadaan yang kita alami ini sebenarnya menjadikan kita termasuk di dalam golongan orang - orang yang belum diuji oleh Allah. Jika kita tidak diuji, bermakna kita belum mengetahui tahap iman kita yang sebenarnya. Maksud firman Allah :"Apakah kamu mengira yang kamu telah beriman sedangkan kamu belum diuji ?".

No comments:

Post a Comment