Saturday, 16 April 2011

Catatan Hj Norazmi di Moscow - Siri 2


Assalamualaikum WM WB.

Baru ada kesempatan untuk menyambung catatan perjalanan AQAS SYARIF LE TOUR D'EUROPE 2011 di Russia.

Di antara sessi perkongsian saya dengan para peajar di Eropah khususnya di Moscow ialah di rumah pelajar-pelajar Malaysia. Lokasinya agak jauh dari hotel penginapan saya.

Di Moscow sewa rumah terlalu mahal. Rumah (apartment) umumnya disewa dengan kadar RM5,000 sebulan. Hanya ada 3-4 rumah yang disewa oleh pelajar Malaysia. Selebihnya tinggal di asrama universiti.

Perjalanan ke rumah pelajar kami naik bas, kemudian naik keretapi dan naik bas lagi. Oleh kerana masa perjalanan kami bertepatan dengan masa warga Moscow balik kerja, bas agak sesak. Kami turun bas bila jalan jem dan berjalan kaki ke rumah tersebut. Pertama kali seumur hidup saya berjalan dalam keadaan salji turun. Rasa syok juga. Selalunya di Malaysia jalan meredah hujan. Teringin juga nak makan sajli tu, tapi takut dikatakan oleh orang sana bila nampak lidah terjelir keluar menahan salji, "Manusia dari mana ni? Tak pernah tengok salji turun ke?" Maka niat tu dibatalkan.

Program diadakan untuk anak-anak kita para pelajar di Moscow. Sekitar 30 orang yg hadir. Kesian juga kepada mereka kerana dimaklumkan lama mereka tak jumpa orang Malaysia. Isteri saya pula menziarahi rumah pelajar-pelajar perempuan di Moscow. Tiga kali naik keretapi nak tiba rumah mereka. Bagi pelajar perempuan, mereka mengatakan inilah makcik pertama yang datang mengunjungi mereka. Tergambar di raut wajah-wajah mereka perasaan seronok jumpa kami. Besar maknanya kepada mereka.

Saya diminta membuat pengisian. Tajuk yang saya pilih ialah "ikhlas kepada Allah dalam perjalanan dan perjuangan hidup".

Di antara isi-isi perkongsian saya ialah:-

1. Perlu rasa nikmat dengan iman dan Islam yang kita miliki. Tuntutan orang yang beriman ialah memelihara diri dengan akidah, akhlak, ibadah dan syariah. Selain dari kewajiban diri sendiri, kita wajib menyampaikan kepada orang lain.

2. Orang muslim boleh diistilahkan seumpama memiliki berlian yang sangat berharga. Berlian ini perlu digilap dan dijaga bagi memelihara kualiti dan nilainya. Iman dan amal yang ikhlas adalah cara menjaga 'berlian' yang ada pada diri kita.

3. Justeru itu, penyerahan yang bulat kepada Allah (keikhlasan) amat perlu. Kita perlu berusaha mencari jalan-jalan bagaimana boleh mengenali Allah SWT dan kebesaran Allah sama ada melalui majlis-majlis ilmu dan merenung ciptaanNya. Kehebatan Allah di dalam memncipta keluasan alam ini yang tidak terjangkau oleh akal fikiran - lihatlah alam cakrawala dan galaksi-galaksinya. Terlalu banyak rahsia alam yang kita boleh lihat dengan hanya mendongak ke langit, tetapi terlalu banyak yang masih tidak diketahui oleh akal manusia yang cukup limited. Apatah lagi untuk memikirkan tentang sifat Allah itu sendiri. Maha Besar Allah. Terlalu mustahil untuk difikirkan. Lihat lah pula kehebatan ciptaan yang sekecil atom (yang mana semua benda di alam ini adalah susunan atom-atom) di mana dalam satu atom, jika diandaikan proton dan neutron sebesar kepala jarum, elektron yang berputar kelilingnya sejauh 100 meter. Selain itu, semuanya void atau kosong - vacumn. Yang kita rasa keras (besi) atau lembut (kapas) atau cair (air), hanyalah tekanan putaran elektron tadi. Maknanya, jasad kita dan alam ini sendiri hanyalah kosong semata2. Sungguhpun begitu, dengan benda yang kosong inilah Allah jadikan semua benda yang complicated di alam ini. Mata yang melihat - bilangan sel yang berbillion yang terlibat dalam memproses setiap penglihatan, bab suara dan dan pendengaran yang begitu komplicated hinggakan kita boleh bezakan suara kanak-kanak, orang dewasa, orang tua, bangsa, individu tertentu walaupun perkataan yang disebut adalah sama. Kita boleh tahu pemilik siapa suara itu walaupun ia sekadar getaran atom yang dilagakan dari kotak suara dan dibawa oleh udara kepada telinga. Begitu hebat ciptaan Allah ini.

Segala pujian hanya untuk Allah. Terlalu hebat hinggakan kita sering lalai dari memikirkannya. Kita terlalu kerdil dan teramat tidak significant dalam sistem cakerawala dan alam ini. DAN yang paling penting, semua kejadian ini; semua cacing, semut, binatang dan manusia, Allah tahu mana asal usulnya, ibu bapanya, rezeki dan nyawanya. Semua tindakan, semua mainan perasaan dan hati diketahui Allah. Ikhlas atau tidaknya kita dalam perjuangan ini semuanya dalam ilmu Allah. Sungguh Maha Suci Allah. Memikirkan kejadian alam dan kehidupan di dunia ini menyebabkan kita akan terasa amat kerdil dan tidak penting. Allah tidak memerlukan kita tetapi kitalah yang sangat perlu kepada Allah. Teramat perlu.

4. Perjalanan dan Perjuangan dalam agama ini hanyalah semata-mata untuk kita menjadi hamba kepada Pencipta Yang Maha Agung ini, selaras dengan doa iftitah yang kita baca setiap kali solat. Semua tindakan kita perlu selari dengan ayat 24 Surah At-Taubah dimana kasih kepada Allah dan Rasulnya serta berjihad dijalannya adalah keutamaan dalam hidup ini.

Begitulah serba sedikit perkongsian saya dengan pelajar-pelajar di dalam ziarah saya.

Sambung nanti dalam siri 3, Insya Allah.

Norazmi Talib

No comments:

Post a Comment