Thursday, April 14, 2011
dan dirobohkan oleh jentolak askar pengganas Israel (IDF)
Assalamualaikum,
Mungkin tragedi berdarah di Deir Yassin 63 tahun lalu pada bulan ini angkara zionis durjana masih lagi meninggalkan luka dan darah yang mengalir. Namun Deir Yassin adalah salah satu dari lembaran pembukaan kepada siri-siri penderitaan yang tidak berkesudahan yang menimpa saudara-saudara kita di Palestin sehingga kini.
Sementara ingatan kita masih meratapi apa yang berlaku di Deir Yassin, pada bulan yang sama iaitu selama 10 hari dari 3 hingga 12 April 2002 rakyat Palestin di khemah pelarian di Jenin, Tebing Barat dikepung oleh tentera Israel dan berlakulah kebiadapan yang tidak tergambarkan oleh akal fikiran yang waras. Pembunuhan dan pembantaian berterusan selama sepuluh hari ini diikuti pula dengan 13 hari kepungan di mana tidak ada bantuan yang dibenarkan. Penduduk Jenin yang terperangkap di dalamnya menggunakan tangan mereka untuk mengais tanah dan runtuhan-runtuhan rumah mereka bagi menyelamatkan kaum keluarga yang tertimbus di dalam rumah akibat diroboh oleh jentolak dan dibedil dengan kereta kebal.
Penduduk Jenin yang merupakan pelarian perang tahun 1948 berjumlah sekitar 14,000 orang dikenakan perentah berkurung oleh tentera Israel bermula dari 3 April 2002. Kepungan dan serangan biadap yang menyususlinya telah dirancang sebulan sebelumnya oleh Perdana Menteri Israel, Ariel Shahron (yang bertanggungjawab di atas pembunuhan di Sabra dan Shatilla pada tahun 1982 yang menyaksikan lebih 3,000 rakyat Palestin disembelih dengan penuh kejam). Beliau dengan angkuh mengatakan
“The Palestinians must be hit and it must be very painful. We must cause them losses, victims so that they feel the heavy price” (Rakyat Palestin mesti dihentam dengan cara yang paling menyakitkan. Kita mesti menyebabkan kemusnahan, kematian supaya mereka membayarnya dengan harga yang paling tinggi)
Berbekalkan kata-kata biadap itu tentera-tentera Israel (IDF) mula memasuki khemah pelarian Jenin yang sempit dan padat itu. Mereka menembak mana-mana rumah kediaman secara rambang dan jentolak pula meranapkan rumah-rumah tanpa mempedulikan penghuninya yang meraung minta waktu untuk keluar menyelamatkan diri. Seorang pemandu jentolak dengan bangganya mengatakan
“There were many people in the houses we started to destroy… I'm sure that people died in these houses, but it was hard to see… I enjoyed seeing each house fall… If something hurts me, it's that we did not erase the entire camp."(Ada ramai penghuni apabila kami mula melakukan operasi meranapkan rumah-rumah… saya pasti mereka mati di dalam rumah-rumah mereka, tetapi ia sukar untuk dilihat… saya merasa seronok melihat setiap rumah yang tumbang… kalaulah ada yang menyakitkan saya, ialah apabila kami tidak melenyapkan seluruh khemah pelarian Jenin)
Pemandu jentolak ini diberikan pingat kerana keberaniannya….! Pelbagai cerita kejam sepeti yang berlaku di Deir Yassin 63 tahun yang lalu seolah-olah diulang tayang. Askar-askar IDF (lebih tepat dijoloki askar-askar pengganas Israel) menggunakan penduduk Jenin sebagai perisai mereka ketika mereka menembak ke atas penduduk Jenin. Dua orang ayah dan anak yang berumur 14 tahun, dijadikan tebusan dan bahu mereka dijadikan tempat untuk mengalas senapang mereka. Mereka menembak dengan bahu mangsa mereka sebagai galas! Seorang kanak-kanak juga di bawa ke mana sahaja sebagai pelindung askar-askar pengganas ini. Kanak-kanak ini kemudiannya ditembak dilututnya dan dibiarkan selama 6 hari tanpa dibenarkan keluar dari khemah Jenin untuk mendapatkan rawatan. Apabila kanak-kanak ini diselamatkan kemudian kakinya sudah busuk (gangrene) dan tidak dapat diselamatkan lagi. Seorang jururawat Palestin yang sedang bertungkus lumus untuk merawat seorang mangsa tembakan askar pengganas Israel ditembak pada jantungnya dengan sengaja.
Kengerian yang ditanggung oleh penduduk Jenin terpaksa dilalui tanpa mendapat sebarang perlindungan dari dunia luar termasuklah PBB. Kebiadapan ini berlaku dan dunia hanya memerhatikan sahaja penduduk Jenin ditimbus hidup-hidup dan ditembak oleh askar-askar pengganas Israel seolah-olah mereka pergi berburu. Jika kejadian yang menimpa Deir Yassin 63 tahun lalu tidak disedari kerana faktot capaian media. Namun pembunuhan keji di Jenin berlaku pada tahun 2002 di mana teknologi media sudah sampai ke satu tahap kemajuan di mana maklumat sampai dalam waktu sebenar ‘real time’. Jelaslah isunya bukan maklumat tetapi kelumpuhan umat Islam dan dunia amnya untuk bertindak. Negara-negara umat Islam dan masyarakat antarabangsa seolah-olah hilang upaya menjadi tawanan Zionis Israel yang dikebirikan.
Berapa ramaikah syuhada yang gugur dalam pembantaian Jenin? Bilangan mereka tidak diketahui. Namun Jenin masih ditutup dari liputan luar selama 13 hari selepas pembantaian yang berlangsung selama 12 hari dalam bulan April itu jelas menunjukkan Israel memerlukan waktu untuk membersihkan jenayah kejinya. Terdapat laporan mayat-mayat syuhada segera diangkut ke dalam trak dan dikebumikan di dalam sebuah kubur massa. Maka bilangan rasmi penduduk Jenin yang dilaporkan terbunuh oleh PBB iaitu sekitar 100 orang adalah terlalu kecil. Bilangan yang sebenar tidak diketahui bahkan berapa ramai mayat yang tertimbus yang tidak dapat dikesan?
Aqsa Syarif sekali lagi mengajak umat Islam khasnya dan rakyat Malaysia supaya menginsafi kejumudan dan kelumpuhan dunia untuk bertindak membela rakyat Palestin. Tragedi Jenin di susuli pula dengan pelbagai tragedi lain dari bulan ke bulan, dari tahun ke tahun sehinggalah kini. Aqsa Syarif tidak akan jemu mengingatkan tentang tragedi-tragedi ini kepada semua. Sampai bilakah kalender kita akan terus dipenuhi dengan ulang tahun- ulang tahun tragedi berdarah di Palestin.
Ayuh bangunlah agar kita menandakan pula di dalam kalender memperingati perjuangan Palestin dengan satu tarikh yang pasti iaitu pembebasan Masjid al-Aqsa, tanah suci Baitul Maqdis dan ‘Ardhul Anbiya’ bumi Palestin.
Aqsa Syarif, Sempena tragedi Jenin
3 – 24 April 2002
No comments:
Post a Comment