Tuesday 14 September 2010

Sukarelawan Land Convoy AQSA2GazaVP5 Membuat Persiapan


14 September 2010, Seramai tujuh sukarelawan AQSA2Gaza Viva Palestina 5 mula berkumpul di ibu pejabat Aqsa Syarif (AQSA) hari ini dan mengadakan mesyuarat bersama jawatankuasa Taskforce. Kesemua mereka adalah ahli IKRAM Malaysia dan mewakili Aqsa Syarif dan rakyat Malaysia di dalam misi kali ini. Mesyuarat di ibupejabat AQSA membincangkan persiapan terakhir sebelum berlepas ke London esok jam 8.30mlm dari KLIA. Mesyuarat dipengerusikan oleh Dr Selamat Aliman (Bendahari AQSA yang juga anggota misi Mavi Marmara). Turut hadir ialah CEO AQSA (Dr Tahir) dan Dr Fauziah (ahli lembaga AQSA). Antara yang dibincangkan termasuk aspek kelengkapan pakaian, peralatan, makanan, perubatan dan keselamatan sukarelawan. Di Malaysia para peserta hanya perlu membuat persiapan untuk peribadi dan kumpulan, manakala persiapan kenderaan dan barangan yang akan disumbangkan ke Gaza di dalam misi ini disediakan di London di dalam bentuk barangan perubatan, makanan dan lain-lain yang akan dimasukkan ke dalam kenderaan yang telah AQSA beli melalui Viva Palestina UK.
Di sebelah malamnya pula mesyuarat diadakan bersama Viva Palestina Malaysia (VPM). Pelbagai isu dibincangkan termasuk keperluan koordinasi sepanjang konvoi, serta 'update' persiapan seumpama pembahagian pemandu terhadap kenderaan-kenderaan di atas nama AQSA dan VPM, insurance kenderaan, persiapan barangan keperluan bermalam, makanan, komunikasi, keselamatan dan sebagainya. Esok (15 Sept 2010) 7 sukarelawan AQSA yang akan berlepas dari KLIA menuju London sekitar jam 8.30mlm ialah PM Dr Mohd Zin (Pontian Johor - Ketua Konvoi AQSA), Hj Norazmi (Sepang Selangor), Azmi Katiman (Subang Jaya), Hj Taufik (Penang), Yusof Ahmad (Gombak), Abdul Wahab (Sg Petani) dan Ust Rofazlin (Bandaraya JB). Manakala sukarelawan VPM pula akan menghantar 3 sukarelawan pada esok hari, 2 sukarelawan lagi akan berlepas kemudian bersama krew TV3).
Misi kemanusiaan global konvo jalan darat kali ini membawa misi menyemarakkan kempen kesedaran kemanusiaan terhadap Palestin yang akan berlangsung mulai 18 Sept 2010 khususnya disepanjang perjalanan konvoi merentasi beberapa negara di eropah. Matlamat akhir misi ini ialah untuk menembusi Rafah menuju Gaza bagi membuat penyerahan bantuan barangan dan kenderaan-kenderaan bagi keperluan penduduk Gaza / Palestin yang masih ditindas oleh rejim zalim Israel. Mudah-mudahan Allah swt mengizinkan pencapaian terbaik di dalam misi kali ini.

1 comment: