السـلام عليكم ورحمة الـلـه وبركاته
الـحـمـد لـلّـه والـصـلاة والـسلام على رسـول الـلّـه
Alhamdulillah berita kebenaran masuk ke pelabuhan al-Arisy oleh pemerintah Mesir, disampaikan kepada saya pada Rabu malam Khamis jam 2.00 pagi 14hb Oktober 2010 bersamaan 6 Zulkaedah 1431 H. Hari ini, berita kebenaran masuk itu, diumumkan di Berita Terkini TV3, jam 9 pagi. Ramai dikalangan kami menyambut berita ini dengan iringan puasa hari Khamis dibulan Haram yang mulia ini.
Ketika sebahagian ummat Islam mula bergerak menuju ke Bumi Ibadah Haji; anda mula bersiap menuju Bumi Ibadah Perjuangan. Setiap rombongan samada rombongan ibadah Haji mahupun ibadah Perjuangan mempunyai makna dan kemanisannya yang tersendiri. Semoga kedua-dua rombongan mulia ini dipelihara Allah S.W.T dan diterima sebagai ibadah maqbulah (diterima).
Pada minggu lepas, seorang pemimpin Palestin telah mengumumkan bahawa tembok yang mengurung saudara kita di Gaza telah mula retak dan pecah. Peperangan 22 hari pada akhir 2008 dan awal 2009 telah menyebabkan "senjata makan tuan". Itulah perancangan Allah.
Kapal Marvi Marmara telah mengesan konsep retak bertemu belah dalam wajah tersendiri. Tembok-tembok kepungan yang retak itu, semakin renggang belahannya. Kini anda merempuhnya dengan panji-panji kemanusiaan; anda telah berjaya menarik perhatian negara Eropah. Menarik perhatian Jepun dan negara Asia serta Afrika lainnya. Kepenatan anda sangat berbaloi.
Dunia terus menunggu apa yang akan berlaku selepas ini. Perhatian dunia ini sangat penting untuk kita meruntuhkan kepungan seterusnya, kepungan si penjajah Israel itu. Ada perumpamaan, ketika tikus-tikus bermuktamar bagaimana untuk memastikan agar pergerakan kucing, mendapat perhatian. Mereka berdebat alangkah baiknya kalau ada loceng di leher kucing. Kehadiran kucing akan mendapat perhatian seluruh tikus-tikus yang ada. Soalannya, siapa yang berani menyangkutkan loceng ke leher kucing.
Kini di leher negara penjajah Israel itu sudah ada loceng. Penduduk dunia mula memerhati perangai buruk mereka. Anda antara yang berjaya menyangkutkan loceng itu. Pahala anda tidak sedikit di sisiNya insya Allah .
Ya, sekurang-kurangnya apa yang dilakukan Israel akan mendapat perhatian dunia, rakyat Jepun pun telah tertanya-tanya apakah jenis manusia sang yahudi ini? Pendatang yang menjajah, membunuh, menghalau tuan rumah, merampas dan menafikan hak sesama manusia. Hak kesihatan, pendidikan, berekonomi, semuanya tergadai.
Mereka juga kehairanan, ada pula manusia seperti anda yang sanggup untuk berkampong di negara orang, menyabung nyawa untuk membantu manusia teraniaya. Kerinduan anda kepada bakso, nasi lemak, ulam petai tidak percuma. Anda berjaya menggoncangkan isu ini. Itulah harapan AQSA SYARIF ketika menghantar anda bersama teman-teman seperjuangan dalam Viva Palestina Malaysia (VPM).
Saya percaya, ketika anda berkelana sebegini, hubungan anda dengan Allah semakin dekat. Kerinduan, kesunyian, kepenatan, keperitan, kebimbangan semuanya merapatkan manusia kepada Allah. Menambah kebergantungan hamba kepada Penciptanya. Rebutlah masa emas ini, kerana belum tentu anda akan lalui peluang dan suasana sebegini selepas ini.
Jangan musnahkan hubungan intim dengan Allah S.W.T ini, dengan wabak penyakit yang sering melanda para pejuang. Walaupun kami merencana supaya anda dan kafilah mulia ini mendapat perhatian dunia, tetapi janganlah perhatian manusia dan dunia ini, masuk ke dalam hati anda, dan memusnahkan amal mulia anda sendiri.
Ingatlah pesanan Ibnu Atha'illah dalam kitab agongnya Al-Hikam:
غيًبْ نظرالخلق إليك بنظر الله إليك، وغبْ عن إقبالهم عليك بشهود إقباله إليك
Lupa dan abaikankanlah perhatian makhluk terhadapmu, kerana merasa puas dan menikmati Perhatian Allah kepadamu. Dan hilangkan perhatian mereka terhadapmu kerana menyedari dan meyakini Allah sentiasa Memerhati mu.
Ayuh sahabat, tarbiyyah dan takwin yang diatur untuk anda, dalam siri tarbiyyah Jamaah, sejak tahun-tahun yang silam, sangat berharga waktu ini. Mihwar imani dan mihwar suluki, bicara tentang iman dan akhlak yang diasak dalam usrah sangat berharga waktu ini. Getaran iman sentiasa hangat di tubuh anda. Berakhlak mulia disetiap keadaan adalah tuntutan yang sangat besar.
Mihwar dakwah mengajar anda untuk terus berjumpa manusia untuk mengajak mereka kepada Allah. Mihwar atau bicara tanzimi, berorganisasi, mengajar dan mengikat anda supaya sentiasa berdisplin dalam pasukan anda. Tunjukkan yang anda teratur dan mudah diatur. Kelam kabut dan tidak fokus merupakan sesuatu yang telah kita tekankan, agar dijauhi. Ini semua sepatutnya ada, dalam tarbiyah mana-mana harakah islamiyyah.
Ayuh maju ke hadapan, jangan pandang belakang tetapi manfaatkan bisikan dan belaian naqib dan guru-guru anda sepanjang anda ikuti usrah tempoh hari. Keluarga anda telah bersujud syukur, mendengar persediaan keberangkatan anda ke bumi Anbiya' Mesir.
Kami sentiasa menanti sorakan takbir saudara-saudara kita di Gaza atau menumpang bau darah syuhada' dari tubuh mulia anda.
سيْروا على بركات اللـه
والـلـه أعـلـم والـسـلام عـلـيـكـم ورحـمـة الـلّـه وبـركـاتـه
USTAZ HASANUDDIN MOHD YUNUS
Pengerusi AQSA SYARIF
Ahli Dewan Perwakilan Nasional IKRAM
No. 18 Jalan Damai Mewah 2,
Taman Damai Mewah, 43000 Kajang,
Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Pej: 0387334636
Faks: 0387349636
Tel HP: 013-7444428
E.mail: admin@aqsasyarif.com
myhasanuddin@gmail.com
Web: www.aqsasyarif.com
AQSA SYARIF BERHAD Acc. No: MBB 551575004299
No comments:
Post a Comment