Oleh Mohd Zin Kandar
(Artikel disalin dari Berit Harian Online) 2010/10/28
Lebih 1.5 juta penduduk Gaza dinafi hak hidup seperti manusia oleh Israel
KONVOI Kemanusiaan Global Jalan Darat ke Gaza Viva Palestina ke-5 (VP-5) adalah usaha penting, khususnya jika dilihat dari perspektif peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam memperjuangkan hak penduduk Palestin. Perjuangan rakyat Palestin yang sudah lebih 62 tahun sering dilihat dan dinilai sebagai satu isu yang seolah-olah tiada penyelesaian.
Pemimpin silih berganti, persidangan demi persidangan dan perjanjian demi perjanjian ditandatangani, tetapi nasib rakyat Palestin masih tidak terbela, malah keadaan lebih buruk berlaku. Kemenangan Hamas pada pilihan raya yang telus dengan dihadiri pemantau Amerika, termasuk Jimmy Carter (bekas Presiden Amerika) pada 2006 bukan diberi sokongan, malah rakyat Gaza ‘dihadiahkan’ dengan hukuman kejam.
Dengan dukungan Amerika dan negara Eropah, Israel menegakkan sekatan makanan dan barang keperluan kepada penduduk Gaza. Sekatan secara menyeluruh yang menghalang penduduk hidup seperti manusia biasa dengan menjadikan Gaza sebagai ‘penjara terbuka terbesar dunia’.
Mereka tidak dibenarkan mengimport atau membawa masuk barang makanan, keperluan perubatan, keperluan tenaga
elektrik, air, keperluan pendidikan anak dan apa juga barang keperluan untuk 1.5 juta penduduk Gaza. Sekatan oleh manusia zalim berfahaman Zionis menafikan hak asas sesama manusia dan kesannya ialah penduduk Palestin di Gaza kekurangan zat makanan yang kritikal khususnya ibu mengandung, kanak-kanak dan orang tua.
Penyakit yang dihidapi penduduk tidak dapat diubati kerana tidak cukup ubat dan peralatan merawat disebabkan sekatan berkenaan. Proses penyelidikan dan pembangunan tidak dapat dijalankan di sekolah disebabkan bahan dan buku sekolah yang tidak mencukupi.
Usaha sama rejim Israel menindas orang awam di kawasan Tebing Barat Palestin melalui rampasan tanah milik penduduk Palestin untuk meluaskan perumahan Yahudi adalah antara tindakan pencabulan keputusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Pembinaan tembok konkrit yang tinggi dan melingkari puluhan kawasan kediaman dan pertanian yang berbaki dan membuat sekatan pemeriksaan yang begitu banyak membuatkan penduduk mengalami kesukaran untuk bergerak dan memperoleh keperluan seharian.
Hasil pertanian tidak dapat dibawa keluar untuk dijual dan ia menyebabkan kedudukan orang Palestin semakin terpinggir dan mundur. Ini adalah suatu tindakan tidak bertamadun oleh bangsa pendatang terhadap bangsa Palestin yang lemah dan ditindas.
Serangan besar-besaran rejim Zionis Israel pada 2008 terhadap Gaza tanpa sebarang sebab adalah tindakan di luar perikemanusiaan terhadap penduduk awam Palestin. Dalam serangan 20 hari itu, menyebabkan pelbagai kerosakan khususnya perumahan, tempat ibadat, hospital, institusi pendidikan dan sekolah yang bernilai berbilion dolar Amerika, manakala serangan terhadap flotila Mavi Marmara pada 31 Mei lalu adalah satu lagi tindakan biadap pencabulan tentera rejim di perairan antarabangsa.
Dunia sudah menyaksikan banyak siri perjanjian ditandatangani dan persefahaman dimeterai Israel dan Palestin atau dengan negara yang berhampiran Palestin. Namun, Israel yang terlebih dulu menodai perjanjian yang mereka tandatangani. Begitulah juga ketentuan yang telah dibuat PBB bagi menangani sebarang isu berbangkit mengenai Palestin. Regim Israel seolah-olah tidak mengindahkan sebarang usaha ke arah kedamaian. Mereka semacam suatu bangsa yang mengatasi sebarang perundangan dunia.
Oleh itu, isu Palestin memerlukan inisiatif yang bersifat dinamik bersesuaian dengan cabaran semasa dan realiti pandangan masyarakat dunia hari ini.
Ketua negara khususnya yang aktif mendalami isu Palestin boleh terus berbuat demikian mengikut rancangan mereka, namun pihak NGO yang sudah sekian lama berperanan dalam isu berkaitan juga perlu diberi ruang seluas-luasnya untuk berperanan.
Puluhan tahun NGO berperanan di dalam atau di luar Palestin seperti Persatuan Bulan Sabit Merah, agensi bantuan dari negara tertentu seperti Islamic Relief Worldwide, Muslim AIDS, Aqsa Foundation dan sebagainya, kini mereka sudah membuat suatu rangkaian yang lebih besar dan lebih ramai NGO terbabit di seluruh dunia dari Eropah ke Amerika, dari Asia ke benua Australia dan New Zealand.
Di bawah inisiatif dan kepemimpinan George Galloway, Viva Palestinia (VP) yang memberi maksud ‘Kemenangan untuk Palestin’ di dalam bahasa Perancis menjadi antara NGO yang menonjol. Melalui beberapa siri aktiviti kempen kesedaran Palestin yang bermula di United Kingdom, VP berkembang dan memiliki cawangan di negara Eropah, Amerika, Afrika dan Asia termasuk Malaysia.
Koordinasi sesama cawangan dan dengan pertubuhan di negara tertentu yang sedia wujud seperti IHH (Turki), Itali dan Aqsa Syarif (Malaysia), Viva Palestina berjaya menganjurkan beberapa aktiviti termasuk konvoi bantuan kemanusiaan dan flotila kapal membawa bantuan untuk Gaza dan Palestin.
Lazimnya, konvoi berkenaan sepenuhnya bermotifkan kemanusiaan iaitu hanya membawa barang-barang bantuan berupa makanan, bahan perubatan, bahan pembelajaran dan bahan-bahan binaan untuk membantu pembangunan semula Gaza.
Inisiatif VP dan pelbagai NGO melalui koordinasi seluruh dunia secara tidak langsung menunjukkan keprihatinan yang tinggi tanpa mengira bangsa, fahaman politik, kepercayaan mahupun batas geografi. Sukarelawan umumnya bertindak membantu rakyat Palestin yang ditindas rejim Zionis Israel, hanya semata-mata kerana nilai kemanusiaan yang lahir dalam bentuk bantuan sesama manusia. Bagi yang beragama Islam pula, mereka didorong oleh cetusan keimanan dalam diri yang menuntut agar kesusahan dan kesakitan saudara sesama Islam dibantu dan dibela.
Penyertaan 14 rakyat Malaysia dari Viva Palestina Malaysia dan Aqsa Syarif Malaysia tepat pada masa. Ini bertepatan pula dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 8 Jun 2010 yang menyokong agar NGO terus menghantar sukarelawan dalam setiap misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin yang dianjurkan di peringkat antarabangsa.
# Penulis ialah Ketua Konvoi Aqsa2Gaza, Aqsa Syarif Malaysia
No comments:
Post a Comment