Friday, 1 October 2010

Tokoh Yang Mengusik Jiwaku Ketika Konvoi Berdagang di Turki



Beberapa minit sebelum kenderaan yang ku pandu melepasi sempadan Greece-Turki, hati ini terus kencang berdebar-debar, terbayang keagungan kerajaan Othmaniah di benak mindaku. Tak semena-mena air mata mengalir. Rakan memandu di sebelahku tidak ku peduli dan aku seolah-olah sedang menangisi suatu kehilangan. Hati terus berdebar-debar bila kulihat bendera merah berkibar megah dengan bulan bintang berwarna kuning, dari jauh memaku pandanganku. Hinggakan seolah ku tak lihat beberapa pengawal di kanan kiri jalan. Sebaik kenderaan ku meluncur dibelakang konvoi, hati ini bertukar dengan 1001 pengharapan. Mengapakah perasaan sebegini tidak berlaku ketika aku melintasi sempadan England-Peranchis, Peranchis-Itali dan Itali Greece?.

Lamunanku tergugah tak semena-mena bila ku lihat sekumpulan manusia berkumpul sambil mengibarkan bendera pelbagai jenis. Senyum, riang kelihatan dalam wajah-wajah itu seolah-oleh menunggu orang yang dinanti-nanti. Aku memperlahankan kenderaan ku sambil melambai tanggan menyahut ucapan salam dan selamat datang kepada konvoi kami. Sekuntum bunga tiba-tiba dihulur melalui pintu kenderaan oleh seorang wanita separuh umur untuk ku dan setiap kenderaan yang datang. Aku tergamam, namun mengambilnya dengan seruan salam.
Dipenghujung dataran, kami hentikan kenderaan masing-masing dan turun mendapatkan saudara-saudara kami yang menerpa kami sambil mengangkat tangan. Kami hulurkan persahabatan ini ... kami peluk seerat-eratnya tubuh sasa sahabat-sahabatkami ... dengan erat ... beberapa ketika ... sambil membisik salam dan selawat ... berlinangan air mataku sekali lagi. Berbisik di hati, "inikah perasaan ansar dan muhajirin...".

Ya Allah, kami telah berkesampatan memijak bumi Othmaniah ini ... eratkanlah hati-hati kami kerana ingin mentaatimu dan memikul beban dakwahmu.

Di antara orang pertama yang ku hulurkan salam ialah saudara Ahmet Sarikurt. Tertera di kad yang diberikan kepadaku baskan yardimcisi/vice presicent sabaik kami bertukar-tukar kad. Aku merenung sejenak wajah yang bersih dan manis. Seorang yang berbadan agak kurus sentiasa berada disamping beliau dan bertindak sebagai penterjemah di atas apa yang kami bualkan, beliau ialah Mr Huseyin. Semenjak saat itu aku sentiasa melihat beliau di mana jua konvoi kami berada. Samada ketika meluru di lebuh-lebuh raya dari kota ke kota di Turki, sesekali kenderaan kereta yang sederhana tersangkut bendera berwarna putih IHH memotong kenderaan konvoi kami. Di lobi penginapan, di majlis perhimpunan, mahupun di stesyen minyak apabila kami singgah mengambil bekalan diesel, hamba Allah itu sentisa mondar-mandir sambil sesekali menggunakan telefon bembitnya. Aku terus tidak jemu memerhatikan gerak-gerinya. Dia tak bercakap di hadapan hadirin, tetapi aku tahu dialah yang merancang semua itu. Dan acap kali juga ku talakan kameraku kepadanya.

Aku mengerti bahawasanya apa yang ku saksikan dan alami sepanjang perjalanan konvoi ke
Gaza menempuhi bumi Othmaniah adalah suatu pengalaman yang mendidik jiwa. Aku mengerti bahawa tempias kebaikan yang kunikmati bermusafir di bumi bertuah ini adalah natijah dari suatu perancangan yang rapi. Mana mungkin jika tidak kerana kejelasan syariah, organisasi ini mampu mengemblingkan sumber dalaman dan luarannya sehingga sentiasa ku lihat kelibat sukarelawannya di segenap simpang dan lebuh raya yang ku tempuhi dengan bendera berkibar ditangan, melambai dan menyeru, Kehangatan hati untuk menemui saudara di Gaza seolah-oleh terus ditiup-tiup.

Semoga ku dapat terus pelajari dari individu ini dan organisasinya dan semoga kekuatan dikurniakan Allah SWT untuk ummah keseluruhannya.

0235 Adana Turki

5 comments:

  1. salam. muga dirahmati allah!

    ReplyDelete
  2. Semoga Allah merahmati mereka yang membantu agama-nya...

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum.
    Alangkahnya bahagia hidup di bumi Allah swt seandainya penghidupan dipenuhi oleh manusia-manusia yang mulia hati, budi, akhlak dan amalan. Bilakah mungkin lahirnya generasi seumpama para sahabat tabi'in ?
    Ayuh usahakan. Journey of 1000 miles start with 1st Step. (Chinese Proverb).

    ReplyDelete