Sunday, 17 October 2010
Syeikh Ismail Miswan, Mustafa Ismail Miswan - Dua beranak yang cekal hatinya...
Menyebut namanya saja sudah cukup membuatkan kami merasa begitu kental dalam melayari perjuangan di dalam konvoi ini. Syeikh Ismail Miswan, 83 tahun yang baru sahaja bersama - sama dengan pengerusi Aqsa Syarif di dalam Mavi Marmara lalu... rupanya Allah membuka peluang untuk kami bersua dengannya kali ini. Bekas kem penempatan sementara rakyat Palestin yang kami tinggal di Latakia ini rupanya berada tidak jauh dari rumah beliau. Seawal hari pertama kami di kem, beliau sentiasa bersama untuk solat berjemaah, membaca al - quran, berhalaqah atau setidaknya sekadar duduk - duduk berbual bersama peserta konvoi. Beliau rupanya telah mendaftarkan diri untuk turut serta dalam konvoi ini.
Namun, senarai 17 orang yang tidak diberi keizinan oleh kerajaan Mesir untuk memasuki Mesir seperti diumumkan pada pagi ini ( 17 Oktober ), beliau adalah salah seorang yang tersenarai. Sebaik diumumkan, beliau mengangkat tangan kanannya dan meluruskan jari telunjuknya ke atas sambil berkata, "Satu hari nanti aku akan tetap dapat memasuki Palestin - tanah kelahiranku, Allah telah mengaturkan yang sebaik - baiknya untuk aku". Teringat semasa diadakan sidang media pertama sewaktu kami di kem ini hampir 3 minggu yang lalu, sebaik Mr Kevin menyebutkan bahawa En George Galloway tidak diberi keizinan oleh Mesir, Syeikh Ismail Miswan berdiri dan berkata, "Tolong bawa En Galloway ni bersama - sama dalam konvoi ini, aku akan ikut bersamanya, aku nak syahid bersama - samanya". Kata - kata beliau itu diluahkan dengan penuh lantang sambil menitiskan airmata dan disusuli dengan pekikan takbir oleh orang ramai... Ustaz Rofazlin yang bertanyakan beliau sebaik majlis berakhir, apa yang menyebabkan beliau menangis.... jawapan beliau adalah "Aku menangis sebab umur aku sudah terlalu tua, bermakna aku sudah makin menghampiri ajalku. Aku teringin bilamana Allah menetapkan ajalku, ianya berlaku di tanah tempat tumpah darahku supaya dapat mengalir bersama darah - darah para nabi yang mulia"
Mustafa Ismail Miswan, merupakan anak kepada Syeikh Ismail Miswan juga merupakan bekas peserta dalam Mavi Marmara. Kami difahamkan semasa di Mavi Marmara dulu, beliaulah yang sentiasa mengumandangkan azan setiap kali solat akan didirikan. Kali ini, sekali lagi Allah memberi kesempatan kepada kami kerana dapat turut serta berdampingan dengan sang bilal ini. Dan di kem ini, nampaknya jawatan tersebut masih lagi diberikan kepada beliau. Memang patutlah jawatan itu diberikan kepada beliau kerana Allah SWT telah mengurniakan beliau suara yang lantang dan merdu yang membuatkan sayu hati tatkala azan dikumandangkan beliau. Tetapi sayang, esok pagi akan menjadi hari terakhir kami bersama dengannya kerana disebabkan perintah dari kerajaan Mesir yang telah menyenaraikan beliau ke dalam 17 orang yang tidak dibenarkan memasuki Mesir bersama ayahandanya.
Sebaik diberi kesempatan untuk bercakap pada sidang media pagi tadi, beliau dengan tenang mengucapkan :
" عندما يظلم الإنسـن من قبل اخيه، يرفع الشكوى إلى الحاكم. ولكن عندما نظلم من الحاكم
(حسن المبارك )،فنحن يرفع شكوانا عليه إلى الله، نشكوه إلى الله
- حسبنا الله ونعم الوكيل"
( Apabila seorang manusia dizalimi daripada berjumpa dengan saudaranya, hendaklah mengadu kepada Hakim, tetapi jika kita yang dizalimi oleh hakim (Hosni Mubarak ), maka hendaklah kita bawa pengaduan kita kepada Allah Azza Wajalla, kita adukannya kepada Allah - حسبنا الله ونعم الوكيل )
Begitulah kata - kata hebat yang keluar dari dua orang yang hebat ini. Semoga pertemuan kami yang singkat dengan mereka berdua ini akan Allah tetapkan untuk pertemuan yang berpanjangan antara kami di akhirat kelak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment