Sunday, 10 October 2010
Sukarelawan A2G Tekuni Nasihat Presiden IKRAM
Kejauhan diperantauan kerana tugas yang diputuskan Aqsa Syarif tidak menghalang anggota A2G mengikuti perkembangan di tanah air khususnya Muktamar Tarbawi Nasional yang baru berlalu. Walaupun terasa rugi juga tidak dapat bersama, namun Insya Allah nasihat dalam ucapan Presidan sebagaimana yang tertera berikut akan menjadi renungan dan ingatan kami. Do'akan kami Istiqamah...
Antara ciri-ciri tarbawiyah yang perlu disampaikan oleh seorang naqib itu adalah memahami akidah agar tanggungjawab sebagai hamba Allah segera dilaksanakan tanpa perlu berlanjutan memberikan hujah.
"Islam juga perlu disampaikan dengan cara yang mudah, bukan dengan istilah- istilah yang susah. Selain itu, fikrah Islam juga mestilah tulen dan murni kerana ia menjadi rahmat Allah buat manusia dan alam," katanya.
Ciri-ciri lain adalah meninggalkan amalan-amalan jahiliah, mentarbiah ahli untuk membentuk du'at, bersabar menghadapi mehnah, tidak berdendam, mencabar kekufuran, menggalakkan infaq, bersikap zuhud dan bersabar jika orang yang dibimbing lambat dalam peningkatannya.
"Naqib harus juga pandai mengolah kemampuan anak-anak buahnya dengan meraikan apa sahaja kemampuan yang mereka ada. Hal ini penting terutama dalam meladeni generasi muda yang sedang dibimbing," tambah beliau.
Satu lagi ciri penting yang perlu difahami oleh seorang naqib, kata Dr Parid, ialah bahawa tarbiah yang dijalani haruslah mampu menggerakkan ahli, bukan setakat menyampaikan maklumat kepada mereka.
"Gerakkan mereka untuk mengubah medan. Apabila mereka ditimpa masalah, jangan biarkan mereka bersendirian. Bantu dan rawatlah mereka semampu yang mungkin," pesannya.
Anak-anak didik yang sedang dibimbing ini juga perlu ditingkatkan kemampuannya sedikit demi sedikit, dinilai, dihubungkan dengan masyarakat massa dan dicatat pengalaman-pengalaman mereka.
Muktamar Tarbawi Nasional 2010 ini dihadiri oleh 1,876 ahli IKRAM yang datang dari seluruh negara. http://www.ikram.org.my/v1/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment